Wednesday, February 17, 2010

Isu Halal (UTUSAN MALAYSIA) 15/02/2010

Pengguna perlu lebih maklumat


pihak berkuasa melancarkan operasi halal di sebuah premis katering dan pusat pembekuan dan pengumpulan daging ayam.


MASYARAKAT pengguna Islam di negara ini sering berdepan dengan pendedahan media berhubung keraguan halal sesuatu produk di pasaran.

Memandangkan isu halal ialah isu penting khususnya bagi yang beragama Islam, wajar bagi mereka mendapat maklumat yang betul mengenai kehalalan sesuatu produk baik untuk dimakan, diminum atau digunakan.

Dalam mendapatkan hak itu, sudah tentunya juga maklumat halal perlu dinyatakan secara jelas pada pembungkusan produk.

"Rungutan pengguna juga melibatkan status halal di restoran dan kedai makanan khususnya yang dimiliki orang bukan Islam.

"Demikian juga status halal makanan di hotel yang sering dikunjungi orang Islam," kata Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman dalam mengulas isu halal ini kepada Bernama.

Beliau menarik perhatian kepada perangkaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(Jakim)di mana sehingga Mei 2009, hanya 27 atau 1.4 peratus daripada kira-kira 2,000 hotel di Malaysia yang memperoleh sijil halal Jakim untuk dapur utama mereka.

Peraturan berkaitan halal

Mohd. Yusof juga memberitahu, pada masa ini terdapat beberapa peraturan berkaitan dengan halal yang terletak di bawah bidang kuasa pelbagai pihak.

Satu daripada peraturan itu ialah Akta Perihal Dagangan 1972 - Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan Halal 1975) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Beliau berkata, lagi satu peraturan yang boleh digunapakai ialah Akta Makanan 1983 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, antaranya yang berkaitan makanan mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan, tidak sesuai untuk dimakan oleh manusia dan pelabelan palsu.

Katanya, isu halal juga boleh ditangani melalui Perintah (Pengimportan) Haiwan 1962, Kementerian Pertanian dan Asas Tani iaitu peraturan yang menetapkan ternakan yang diimport hendaklah disembelih mengikut cara Islam dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, Mohd. Yusof menjelaskan, peraturan berkaitan halal di Malaysia lebih kepada bersifat sukarela.

Tambah beliau, setakat ini tidak terdapat peraturan yang mewajibkan pengeluar atau pengedar produk mendapatkan pensijilan halal.

"Pengeluar atau pengedar produk makanan sendiri yang menentukan sama ada mereka ingin memohon pensijilan halal ataupun tidak.

"Justeru, persatuan pengguna telah lama meminta agar diwujudkan sebuah akta yang khusus berkaitan halal, yang mewajibkan pengeluar dan pengedar mendapatkan pensijilan halal sekiranya mereka ingin memasarkan produk termasuk makanan kepada orang Islam.

"Semasa pembentangan Bajet 2010, Perdana Menteri ada menyebut kerajaan akan menggubal Akta Halal yang dijangka dikuatkuasa tahun ini (2010). Sehingga akta itu wujud, maka peraturan berkaitan halal masih dalam keadaan yang ada sekarang," kata Mohd. Yusof.

Sering dikelirukan

Berdasarkan kepada laporan dan pembongkaran media, pengguna Islam ternyata sering menjadi mangsa kerakusan segelintir peniaga atau pengilang yang dengan sengaja menggunakan label halal sendiri atau sijil halal yang tidak diiktiraf.

Golongan itu sama ada tidak peka atau tidak mengambil berat tentang kepentingan produk halal bagi orang Islam.

Menurut Mohd. Yusof, hakikatnya ialah sebahagian besar daripada pengeluar atau pengedar produk termasuk makanan, terdiri daripada orang bukan Islam.

Ada di antara mereka, katanya, tidak begitu menitikberatkan proses pengeluaran yang menepati keperluan hukum Syarak.

Beliau berkata, segelintir peniaga atau pengedar meletakkan label halal sekadar untuk melariskan produk.

Bukan itu sahaja, katanya, ada juga restoran bukan Islam yang meletakkan poster ayat al-Quran atau menggunakan pekerja Islam untuk menunjukkan bahawa makanan yang disediakan di restoran itu, halal.

"Peraturan yang ada pada masa ini hanya membolehkan tindakan penguatkuasaan dilakukan sekiranya pengeluar atau pengedar meletakkan label halal pada produk mereka. Jika didapati mereka menggunakan bahan yang tidak halal, maka boleh diambil tindakan dibawah Akta Perihal Dagangan 1972 - Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan Halal 1975 ) denda sehingga RM200,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

"Jika sesuatu produk itu tidak terdapat label halal atau restoran tidak meletakkan label halal atau bahan yang digunakan untuk memproses produk tersebut atau penyediaan makanan di restoran itu tidak menepati hukum Syarak, maka tindakan penguatkuasaan tidak boleh dilakukan," jelas Mohd. Yusof.

Dalam apa jua keadaan, beliau menasihatkan pengguna Islam supaya tidak bersikap sambil lewa dalam menangani isu halal.

Pengguna Islam, katanya, perlu selalu berwaspada serta memastikan setiap makanan atau produk yang dibeli atau restoran yang dikunjungi mempunyai logo halal yang kini sudah diseragamkan dan dikeluarkan oleh Jakim.

Beliau turut menegur sikap sesetengah pengguna Islam yang masih terus mengunjungi restoran bukan Islam yang tidak mempunyai persijilan halal atau membeli makanan daripada penjaja kecil bukan Islam terutama di pasar-pasar malam.

Tidak yakin halal

Bagi yang mungkin merasa was-was dan mahu mendapatkan keyakinan, mereka boleh menghubungi persatuan-persatuan pengguna, Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri(JAIN).

Jakim umpamanya mempunyai Portal Halal Malaysia www.halal.gov.my yang menyediakan pelbagai maklumat berkaitan pensijilan halal Malaysia.

Isu Halal (UTUSAN MALAYSIA) 15/02/2010

Jangan remehkan isu halal


HALAL bukan sekadar pada logo atau bebas daripada daging babi tetapi meliputi pelbagai aspek termasuk kebersihan.

SESEKALI masyarakat Islam di negara ini digemparkan dengan dakwaan sesuatu produk itu diragui status halalnya. Mereka akan menjadi begitu cemas serta menjadi berhati-hati dalam membuat pembelian makanan atau produk berkaitan.

Tidak kurang juga yang menjadi jaguh debat, pantas menuding jari kepada pelbagai pihak yang dipertanggungjawabkan dengan penguatkuasaan halal.

Pihak ini bagaimanapun gagal menuding jari kepada diri sendiri, gagal melihat kepada kelemahan dalam membuat penilaian dan pemilihan sebelum membuat transaksi pembelian.

Daripada roti kepada sosej, ubat gigi dan pinggan mangkuk, itu ialah antara produk yang dikaitkan dengan isu halal beberapa ketika dulu.

Terdapat juga laporan mengenai beberapa produk kesihatan yang diuji dan didapati tidak halal kerana mengunakan kapsul gelatin daripada babi.

Cuma apabila 'ribut' berakhir, sesetengah pengguna Islam kembali ke takuk lama. Soal keliru atau terpedaya tidak lagi menjadi polemik menghiasi ruangan berita atau surat pembaca. Keprihatinan mereka tentang halal tidak ubah seperti 'ribut di dalam cangkir'!

Tidak persoal

Mereka tidak lagi memberatkan status halal haram dan kembali makan apa sahaja yang sedap pada tekak meskipun di premis yang tidak memaparkan logo atau sijil halal.

Mereka juga membeli apa yang menarik perhatian tanpa ada rasa tanggung jawab untuk meluangkan masa, membaca label produk, meneliti kandungan ramuan mahu pun memeriksa nama atau identiti pengilang!

"Masa belajar di luar negara, saya memang teliti kalau nak membeli barang makanan. Balik ke Malaysia, saya beli apa sahaja, lagi pun produk buatan Malaysia tidak mungkin tidak halal," kata Nor, seorang pekerja swasta memberitahu penulis apabila ditanya pandangannya tentang isu halal.

"Ada tulis halal, mesti halalkan?," soal seorang peniaga yang rata-rata barang yang dijualnya makanan ringan dan pembelinya kebanyakan kanak-kanak sekolah.

Satu daripada produk yang begitu laris dijual ialah serbuk pelbagai warna perasa yoghurt yang diisi di dalam sampul plastik panjang. Produk dari Filipina ini mempunyai perkataan 'halal'.

Sikap Nor dan peniaga ini mungkin juga dikongsi sebahagian besar masyarakat pengguna Muslim di negara ini. Antara tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu, ramai yang akhirnya dikhuatiri terpedaya dan tertipu!

Pandang remeh

Menurut Pengarah Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Saimah Mukhtar, meskipun perkataan halal itu sendiri tidak wajar dipandang remeh tetapi keadaan itulah yang banyak berlaku sekarang.

"Di premis makanan bukan Islam, letak sahaja perkataan halal atau lihat juruwang atau pelayan bertudung, ramai orang Islam yang masuk makan.

"Begitu juga jika penjual itu pakai kopiah putih, terus buat andaian orang Muslim dan beli apa yang dijualnya.

"Inilah sikap sesetengah orang Islam kita yang pandang ringan soal halal," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

Beliau turut menarik perhatian kepada sesetengah pengguna Islam yang sanggup berkunjung ke sesebuah premis makanan bukan Islam hanya kerana ia mempamerkan perkataan "bebas babi" atau "bebas alkohol".

"Ini amat mengelirukan. Tak ada babi atau tak ada alkohol tak bermakna halal," tegas Saimah.

Beliau menegaskan sesetengah pengguna Islam juga tidak memberatkan aspek 'thoyiban' yang boleh dikaitkan dengan semua aspek positif seperti berzat, bersih, berkualiti, selamat dan tidak membawa kemudaratan kepada manusia.

Dalam sesetengah kes, ada juga orang Islam yang sanggup berkunjung ke premis makanan bukan Islam meskipun tiada jaminan halal hanya kerana makanan yang dijual sedap.

Penolong Pengarah, Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan, Bahagian Hub Halal Jakim, Amri Abdullah memberitahu Bernama, beliau pernah mengajukan soalan kepada pelanggan Islam ketika membuat operasi di sebuah premis makanan.

Pelanggan berkenaan, katanya, dengan wajah yang selamba menjawab,: "Makanan sedap ustaz." meskipun beliau maklum pengusaha restoran tersebut bukan orang Islam.

Dalil halal

Di samping gaya hidup yang sihat, makanan sering dikaitkan sebagai faktor penting yang menentukan tahap kesihatan dan kesejahteraan minda serta tubuh badan seseorang individu.

Bagi masyarakat Islam, pemilihan makanan sewajarnya bukan sahaja mengutamakan kandungan khasiat atau zat.

Ini kerana Islam mempunyai piawaian atau standard tersendiri iaitu 'halalan thoyiban' (halal, baik dan selamat) dalam soal makanan dan pemakanan.

Perkara ini banyak ditekankan melalui firman-firman Allah SWT serta hadis Rasulullah SAW.

Antara firman Allah SWT ialah dalam surah Al Baqarah ayat 168 yang bermaksud: "Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu."

Pengaruh halal kepada peribadi

Kehalalan makanan mengikut syariat agama mempunyai pengaruh besar kepada pembentukan serta perkembangan peribadi seseorang Muslim.

Ini bermakna setiap makanan yang tidak halal yang dimakan oleh seseorang Muslim akan menjadi menjadi darah daging dan akan memberi kesan kepada pembentukan serta perkembangan peribadinya.

Justeru, mulia atau buruknya peribadi serta pekerti seseorang Muslim itu ternyata bersandar kuat kepada halal atau haram makanan yang masuk ke dalam perutnya.

Jika haram makanan yang dimakan, ia bukan sahaja akan menjejaskan ketakwaan dan nilai ibadat seseorang individu Muslim itu tetapi juga akan mengakibatkannya dicampak ke dalam api neraka.

Maksud halal

Halal berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna 'dibenarkan' atau 'dibolehkan' oleh hukum Syarak.

Jakim menggariskan 'hukum Syarak' bermakna undang-undang Islam dalam mazhab Syafie atau dalam mana-mana mazhab Maliki, Hambali atau Hanafi yang telah mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Undang-undang itu juga telah dikuatkuasakan dalam Wilayah Persekutuan atau oleh Raja bagi mana-mana negeri dikuatkuasakan di dalam negeri berkenaan.

Konsep Halalan Thoyiban juga bukan hanya terbatas kepada bersih dan suci daripada babi atau najis tetapi juga mengambil kira aspek yang lebih meluas untuk apa sahaja yang hendak dimakan, diminum atau digunakan.

Antaranya halal dalam cara memperolehnya yang tidak melalui cara haram seperti mencuri, merompak atau rasuah dan piawaian ketat Islam ini juga mencakupi cara pemprosesan serta penyimpanan. Bermula dari ladang sampai ke meja.

Takrif di bawah Akta Perihal Dagangan

Di samping itu, takrif 'Halal' juga diperjelas di dalam Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Mengikut Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan "Halal") 1975, takrif 'Halal' bukan terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang yang orang Islam dilarang oleh hukum Syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut hukum Syarak.

Ia juga bermaksud tidak mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum Syarak.

Ia juga tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari benda-benda najis mengkut hukum Syarak.

Impak perbahasaan

Perintah tersebut juga menggariskan peraturan membabitkan penyediaan pemprosesan serta penyimpanan yang tidak bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak-kehendak di atas atau apa-apa benda yang dihukum najis mengikut hukum Syarak.

Takrif 'Halal' di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan) mempunyai implikasi yang mungkin tidak disedari pengguna lebih-lebih lagi pengilang.

Menurut Saimah, ia mempunyai kesan yang cukup besar meskipun tidak ada akta setakat ini yang mewajibkan produk atau industri menggunakan perkataan halal sama ada dalam bentuk logo atau perkataan.

Beliau memberi contoh 'perbahasaan' termasuk perkataan halal (Rumi atau Jawi), ayat Quran, perkataan Allah, Muhammad atau Bismillah, gambar Kaabah, perempuan bertudung, lelaki bersongkok yang boleh ditafsirkan sebagai halal.

"Apabila pihak industri atau premis atau apa mana-mana pihak menggunakan perbahasaan itu, terbukti tidak halal, atau sebaliknya, tindakan boleh di ambil di mana denda sehingga RM250,000 boleh dikenakan.

"Peranan Jakim ialah sebagai badan pensijilan yang memberi pengesahan halal melalui sijil logo, sementara tindakan boleh diambil sama ada oleh KPDNKK atau Kementerian Dalam Negeri," jelas Saimah. -- Bernama